Saturday, January 30, 2010

BALA ALLAH SWT ATAU BENCANA ALAM

BALA ALLAH SWT ATAU BENCANA ALAM


400 hilang ditelan bumi ketika gempa di Padang
JAKARTA: Kira-kira 400 orang yang menghadiri satu majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman ketika gempa bumi berkekuatan 7.6 pada skala Richter di Sumatera Barat pada 5.16 petang rabu lalu.

Kebimbangan itu berdasarkan keadaan kampung itu yang kini rata ditutupi tanah dan menara masjid, iaitu merupakan struktur tertinggi di situ, juga sudah tidak kelihatan.

"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S Pakaya, yang dipetik Detikcom hari ini. Sambil menyebut bahawa pasukan mencari dan menyelamat tidak mungkin menggali sedalam 30 meter untuk mengeluarkan mangsa, beliau berkata dengan tenggelamnya kampung itu, proses mencari dan menyelamat sangat sukar untuk dijalankan walaupun pasukan pencari masih berusaha.

Tragedi di kampung itu adalah satu daripada beberapa kejadian serupa yang mula mendapat perhatian setelah sistem komunikasi dan jalan raya mulai dapat berfungsi semula.

Di Kota Padang sendiri, televisyen tempatan menyiarkan visual pelbagai usaha mencari dan menyelamat yang giat dijalankan pihak berkuasa termasuk tentera di beberapa buah hotel dan bangunan lain seperti pusat tuisyen, ketika bau mayat dikatakan sudah mulai menyengat. Kira-kira 100 mangsa pula dipercayai terhimpit di celah runtuhan lantai, bumbung dan dinding Hotel Ambacang manakala 50 murid masih tertimbus akibat tanah runtuh yang menenggelamkan sekolah mereka di Desa Tandidek, Pariaman.

Kira-kira 200 orang lagi masih hilang, juga dipercayai tertimbus dalam runtuhan dua buah bukit di Petamuan, Padang Pariaman.

Setelah masuk hari keempat yang dianggap sangat genting bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk menemui dan mengeluarkan mangsa yang masih hidup, para pegawai pihak berkuasa berkata keluarga mangsa terutama yang tertimbus harus ikhlas merelakan kepergian keluarga mereka. - Bernama

0 comments: